Caesar - Maharaja Rom yang terulung Julius_Caesar

Sekembalinya Caesar ke Itali pada September 45 SM, beliau telah mengambil keputusan untuk mengampunkan semua musuh-musuhnya yang lalu. Antara musuhnya yang telah diampun termasuklah Marcus Junius Brutus atau Brutus, orang kuat Pompey. Caesar amat menyintai ibu Brutus, yang telah diambil sebagai wanita simpanannya dan menganggap Brutus sebagai anak kandungnya sendiri. Selain itu, beliau telah menulis wasiat yang menamakan Octavian Augustus, iaitu anak saudaranya sebagai pewaris segala hartabendanya termasuk gelarannya. Caesar juga menulis bahawa seandainya Octavian meninggal sebelum beliau, maka Marcus Junius Brutus akan mewarisi segalanya. Disamping itu, sekiranya Octavian mati setelah mewarisi harta Caesar, Brutus akan mewarisi harta dari Octavian.

Sanjungan kepada Caesar

Beberapa temasya sukan dan perayaan yang hebat telah dianjurkan secara besar-besaran sempena kemenangan Caesar pada April 21. Beliau juga diberi penghormatan untuk memakai pakaian kemenangan triumphal clothing, termasuk jubah ungu (mirip Raja-Raja Rom yang lampau) dan mahkota laurel crown, semasa perayaan awam. Suatu estet yang amat luas telah dibina eksklusif untuk kegunaaannya. Gelaran Dictator telah menjadi gelarannya yang sah untuk seumur hidup. Malah, suatu patung gading yang merupai Caesar telah dibuat untuk dibawa dalam perarakan keagamaan. Imej Caesar dengan rambutnya disikat kehadapan (untuk menyembunyikan kepalanya yang semakin botak) terdapat dimerata tempat.

Suatu patung Caesar telah ditempatkan di kuil Quirinus dengan tulisan "Kepada Tuhan yang Tidak Boleh Ditewaskan". Oleh kerana Quirinus merupakan dewa ibukota Rom dan pengasas serta rajanya yang pertama iaitu, Romulus, penaikkan patung Caesar seolah menyamakan beliau dengan dewa dan juga sebagai raja yang lampau. Sebuah patung lagi telah dinaikkan bersama-sama tujuh raja Rom yang lalu iaitu patung Lucius Junius Brutus, wira yang memberontak serta mengusir Raja Rom yang terakhir. Adalah dipercayai Lucius Junius Brutus merupakan kaum kerabat Brutus iaitu orang yang paling dipercayai oleh Caesar.

Caesar merupakan orang Rom hidup pertama dengan mata wangnya sendiri.
Sumber http://www.cngcoins.com

Caesar juga telah melakukan beberapa perkara yang menyakitkan hati perwakilan di Senat. Buat pertama kali dalam sejarah Rom, mata wangnya telah ditempa dengan imej tokoh yang masih hidup iaitu Julius Caesar. Selain itu, apabila beliau kembali ke Rom pada Oktober 45 SM, beliau memberi jawatan Konsulnya kepada Quintus Fabius Maximus dan Gaius Trebonius. Ini telah menimbulkan kemarahan pihak Senat kerana Caesar tidak menghiraukan sistem pilihan raya yang sedia ada dan membuat dasar sesuka hatinya. Disamping itu, beliau telah diberi kuasa untuk melantik separuh daripada kumpulan majistret, yang pada lazimnya dipilih oleh rakyat. Caesar juga dianugerahkan imperiumnya sendiri, suatu kuasa kekebalan dari tindakan undang-undang dan memberinya pangkat Panglima Besar bagi angkatan tentera Rom.

Reformasi dibawah pemerintahannya

Walaupun Caesar telah disanjungi oleh rakyat, beliau tidak melupakan mereka. Malah, beliau telah mengambil langkah-langkah tertentu untuk mengatasi pelbagai masalah sosial di Rom. Antara lain, beliau telah membuat undang-undang yang melarang rakyatnya yang berusia antara 20 dan 40 tahun dari meninggalkan Itali selama lebih tiga tahun melainkan untuk kempen ketenteraan. Mengikut teorinya, ia dapat memastikan kesinambungan operasi ladang ternak tempatan dan mengelakkan korupsi di negara asing. Sekiranya seorang ahli dari golongan elit mencedera atau membunuh mereka dari kelas bawahan, maka kesemua harta pihak bersalah akan disita oleh kerajaan. Caesar juga berjaya membatalkan suku daripada hutang kerajaan dan ini telah meringankan beban rakyatnya. Caesar juga mengawal dengan ketat pembelian bijirin yang menerima subsidi kerajaan dan melarang mereka yang mampu membeli bijirin yang dibekalkan oleh peniaga swasta dari menerima bijirin orang awam. Selain itu, beliau merangka pelan untuk pengagihan tanah kepada para veteran perang dan menubuhkan beberapa koloni sebagai hadiah kepada mereka dimerata empayar Rom. Hasilnya, populariti beliau telah melonjak dan beliau semakin disanjungi oleh rakyat jelata.

Sewaktu beliau menyandang jawatan Pontifex Maximus pada 63 SM, beliau telah menetapkan kalendar yang baru dipanggil Kalendar Julian. Pada 46 SM, Caesar telah membuat kalendar tahunan 365-hari dengan tahun lompat selang empat tahun (Kalendar ini kemudiannya diubahsuai oleh Paus Gregory XIII pada 1582 untuk kalendar moden). Akibatnya, tahun 46 SM telah dipanjangkan selama 445 hari untuk selaras dengan kalendar tersebut.

Caesar juga telah memperbaiki kemudahan awam di Rom. Sebelum pentadbirannya, Rom merupakan bandaraya yang tidak terurus penuh dengan senireka yang tidak menarik. Sebuah Rostra buatan marmar, bersama dengan mahkamah serta pasaraya yang baru telah dibina. Sebuah perpustakaan awam dibawah pendidik terkenal Marcus Terentius Varro telah berada didalam pembinaan. Dewan Senat, Curia Hostilia, yang baru diperbaiki telah ditinggalkan untuk diberi laluan kepada projek bangunan marmar yang baru dipanggil Curia Julia. Forum untuk Caesar, dengan kuil Venus Genetrix, telah dibina. Bandar Pomerium (sempadan yang suci) telah ditambahkan untuk perkembangan Rom.

Malangnya kesemua projek-projek mega dan pembaziran ini hanya meningkatkan kebencian beberapa ahli Senat (termasuk kawan paling rapat Caesar, Marcus Junius Brutus) terhadap Caesar.